RAUB - Raub dahulunya dikenali sebagai Bandar Emas berlandaskan industri perlombongan emas di daerah itu namun kini diisytihar sebagai Bandar Durian Musang King selepas mengambil kira daerah itu merupakan pengeluar durian Musang King berkualiti tinggi dan mampu menghasilkan raja buah itu dalam kuantiti banyak.

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Abd Aziz Mat Kiram berkata, pengisytiharan Raub sebagai Bandar Durian Musang King itu merupakan langkah tepat dalam memastikan industri penghasilan durian Musang King yang banyak di daerah terus berkembang. Menurutnya promosi kini terus dipergiatkan termasuklah pesta buah-buahan akan terus diadakan di daerah ini dari semasa ke semasa melibatkan pekebun kecil dan usahawan.

"Pengisytiharan ini amat signifikan dengan keupayaan Raub mengeluarkan durian Musang King dengan banyak kira-kira 12,000 hektar kawasan penanaman durian jenis itu di seluruh daerah.   "Selaras dengan pelancaran ini kita akan memperbanyakkan lagi aktiviti termasuklah fokus kepada agro-pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini," katanya pada majlis perasmian Fiesta Buah-Buahan dan Makanan peringkat daerah di Dataran Raub di sini, kelmarin.

Turut hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Zamri Hasan; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mahathir Abdul Raffar dan Pengerusi Persatuan Pekebun Buah-buahan negeri, Melissa Yap. Abd Aziz yang juga Adun Batu Talam berkata, selaras dengan pengisytiharan itu pihaknya akan membina infrastruktur sesuai termasuk replika durian Musang King di daerah tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, program agro pelancongan berkaitan durian di daerah tersebut amat signifikan kerana mampu menarik minat ramai pelancong dalam dan luar negara. "Pada masa ini durian Musang King Raub telah mendapat perhatian khususnya daripada lima Wilayah di China yang sering menyaksikan kunjungan pelancong dari negara berkenaan. "Setiap wilayah di negara China berkenaan mem­punyai kira-kira 50 juta penduduk, jadi potensi agro pelancongan durian Musang King di Raub ini amat besar," katanya.

Mengulas mengenai kewajaran pengisytiharan berkenaan beliau ber­kata, durian Musang King induk dari Gua Musang, Kelantan dibawa ke daerah ini untuk diubahsuai dan dibenihkan bagi menghasilkan kualiti terbaik. "Hasil daripada pengubahsuaian oleh pengu­saha durian di sini menghasilkan kualiti durian Musang King terbaik ditambah dengan tanah di Raub yang amat sesuai untuk penanaman durian," katanya.