KUALA KRAU - Nino dan Awani, sepasang seladang dewasa yang menjadi tumpuan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PHKL) Seladang, di Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau yang satu-satunya pusat spesies tersebut di negeri ini. Nino seladang jantan dan Awani dijaga dengan baik malah ragam haiwan berkenaan perlu difahami penjaganya. Kedua-duanya mendapat penjagaan di pusat tersebut iaitu Awani sejak 2005 dan dua tahun kemudian, Nino pula dibawa masuk. Disondol akibat gurauan kasar oleh Nino dan Awani antara cabaran yang dihadapi penjinak seladang. Itu risiko yang dihadapi Pembantu Awam di pusat terbabit, Zulfahami Kamaruddin, 43 sepanjang berkhidmat di pusat tersebut sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya berbanding anak seladang yang mudah dijaga, seladang dewasa mempunyai ragam tersendiri. "Seladang manja bukan dengan semua orang. Hanya orang-orang tertentu sahaja. Bergantung pada cara belaian. "Apabila seladang meningkat dewasa, spesies ini akan 'bergurau' kasar. Kadang-kadang kena sondol dan haiwan ini memiliki deria yang sensitif," katanya. Bagaimanapun, katanya, dia belum berdepan kecederaan serius sepanjang menjaga dua seladang itu. Menurutnya, haiwan tersebut yang juga dikenali dengan nama saintifik, Bos Gaurus Hubbacki itu antara 26 seladang yang terdapat di pusat terbabit setakat ini.
"Haiwan ini diberikan makanan seperti dedak, rumput dan mengkirai. Pagi makan rumput dan mengkirai. Petang pula kami beri dedak. Menurutnya, kerjaya itu disifatkan satu pengalaman bermakna buat dirinya dan tidak pernah terfikir bergelumang dalam dunia haiwan liar tersebut yang kian pupus di negara ini. "Sebenarnya saya dari kecil suka datang ke pusat ini melihat seladang tapi tak sangka akhirnya menjadi kerjaya tetap. "Setakat ini pelbagai pengalaman saya hadapi. Tugas saya pula bukan hanya di sini tetapi turut berada di dalam hutan dalam proses pencarian spesies ini.Zulfahami turut mengakui seladang sukar ditemui dan anak haiwan itu sangat dilindungi penjaganya."Anak-anak sangat mendapat perhatian dan tidak duduk sendirian," kata anak sulung daripada tujuh beradik itu lagi.
Pembiakan dalam kurungan
Sementara itu Ketua PHKL, Muhammad Idham Sahiron memberitahu, objektif PHKL untuk meningkatkan populasi spesies tersebut dengan menjalankan pembiakan dalam kurungan selain dipindahkan ke lokasi lain bagi tujuan pemuliharaan. Menurutnya, dengan 11 kakitangan termasuk beliau di pusat seluas 15 hektar, sebanyak 172 seladang ditempatkan sejakmula beroperasi pada 1982."Manakala 28 ekor dipindahkan ke Zoo Negara, Zoo Melaka, Istana Kelantan dan ke PHKL Seladang di Sungkai, Perak dan Gua Musang, Kelantan dan sebahagiannya dilepaskan ke Kompleks Taman Negara, rezab hidupan liar dan hutan simpan.
"Haiwan liar ini menjadi buruan kerana dianggap satu kebanggaan, piala buat mereka. Selalunya bukan daging jadi tumpuan tetapi bahagian kepala untuk dijadikan perhiasan," katanya yang turut memberitahu berat haiwan itu boleh mencecah hingga 1 tan. Dalam pada itu, beliau memaklumkan orang ramai boleh mengunjungi pusat tersebut dengan syarat mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Perhilitan. "Memang kita ada menerima permintaan orang ramai yang ingin melihat sendiri di depan mata haiwan liar ini. Masuk memang percuma tapi kena dapatkan kebenaran bertulis Jabatan Perhilitan sama ada di Ibu Pejabat atau negeri. "Aktiviti yang dijalankan lawatan ke galeri yang menempatkan struktur haiwan yang diawetkan selain ke paddock seladang dan taklimat mengenai spesies ini dan akta yang terlibat," katanya. Muhammad Idham berkata, kebiasaannya pengunjung menghabiskan masa kira-kira dua jam di pusat yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari pusat bandar Temerloh dan memulakan operasi pada jam 8 pagi hingga 5 petang.