Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 94

BENTONG - Setiap kali tiba musim durian, setiap kali itu jugalah daerah Bentong dan Raub menjadi tumpuan. Menariknya, tumpuan penggemar durian pastinya terarah ke durian jenis Musang King yang sememangnya popular di sini.Lebih membanggakan apabila musim durian kali ini turut menjadi tumpuan pelancong China yang menggemari raja buah itu.

Pemilik kebun Musang King, Ee Chin Loon, 52, yang memiliki enam hektar tanah dengan lebih 400 pokok Musang King berkata, permintaan tinggi daripada pelancong luar menjadikan daerah berkenaan tumpuan peminat raja buah itu.Menurutnya, kira-kira 3,000 pelancong China mengunjungi Raub dan Bentong setiap hari semata-mata mahu merasai sendiri durian Musang King di daerah itu.

“Tak sangka selepas kerajaan memperkenalkan Musang King di China, penduduk republik itu berpusu-pusu mengunjungi Raub yang telah pun menjadi pengeluar utama buat Musang King.“Bulan ini bukan sahaja dipenuhi dengan pelancong China malah pelancong tempatan terutama dari Kuala Lumpur turut datang menikmati keenakan durian Musang King di sini,” katanya.

Bagi peniaga, Mohd Khuzairi Bidin, 44, yang lebih dikenali sebagai Ujang berkata, durian di dusunnya dekat Batu 19 Jalan Telemong di sini mula gugur sejak penghujung bulan lalu.Menurutnya, buat masa ini dia mendapat kebenaran membuka gerai jualan dan pengumpulan durian di dataran Karak yang mendapat sambutan menggalakkan.“Alhamdulillah. durian kali ini agak banyak. Setakat ini jenis durian kampung sahaja yang gugur dan mula dijual pada harga RM12 sekilogram.“Durian jenis D24 dan Musang King pun dah gugur tapi jualan terhad sebab kebanyakannya sudah ditempah. Selalunya waktu pagi dah habis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Memandangkan permintaan meningkat, Mohd Khuzairi yang mengusahakan dusun seluas empat hektar itu turut menyediakan kerusi dan meja bagi memudahkan pelanggan makan durian segar di gerainya.Beliau berkata, sebanyak 182 pokok durian di kebunnya juga sudah mengeluarkan hasil sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini.“Pada masa ini saya mampu jual kira-kira dua tan durian sehari termasuk secara borong kepada pembeli dari Kuala Lumpur dan Kuantan.“Saya telah menjual dengan pendapatan mencecah lima angka sebelum ini termasuk mengadakan pesta durian dengan mengenakan bayaran RM28 seorang untuk menikmati durian jenis kampung, D2 dan D24 sepuas-puasnya,” katanya.Tambahnya, jualan durian dijual mengikut harga pasaran dan hasil yang diperoleh di kebunnya.Bagaimanapun katanya, harga berkenaan tidak melebihi RM15 sekilogram bagi durian kampung.