Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 144

KUALA ROMPIN - Cadangan pembinaan Lapangan Terbang di Kampung Genting, Pulau Tioman yang dilancarkan pada 2003 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu perlu dilaksanakan semula. Gesaan itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly, supaya dapat melonjakkan industri pelancongan dan ekonomi di kawasan peranginan itu.

Menurutnya, pulau terkenal di Pahang itu perlu dibangunkan agar potensinya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa menjejaskan khazanah alam yang ada.“Saya difahamkan projek ini terhenti disebabkan perubahan kepimpinan ketika itu apabila Tun menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.“Namun kini Tun sudah kembali sebagai PM dan saya pasti cadangannya ketika itu tentu masih relevan hingga ke hari ini serta boleh dilaksanakan semula,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Fadzli percaya penduduk Pulau Tioman turut berharap projek itu menjadi realiti kerana mampu meningkatkan kehadiran pelancong walaupun pada musim laut bergelora.“Umum tahu pada musim laut bergelora feri ke Pulau Tioman tidak beroperasi dan industri pelancongan di sana akan tutup kerana tiada pelancong sekali gus mendatangkan kerugian.“Jadi, dengan adanya lapangan terbang ini kehadiran pelancong tidak lagi terhad dan resort atau hotel dimiliki penduduk setempat boleh beroperasi sepanjang tahun,” katanya.

Terdahulu pada 20 Julai tahun lalu, projek pembinaan landasan terbang baharu antara tiga berita baik diumumkan kepada penduduk Pulau Tioman sempena lawatan kerja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke pulau peranginan itu.Beliau berkata, kerajaan meluluskan cadangan pembinaan semula landasan lapangan terbang baharu di Kampung Genting.Projek tersebut sebelum ini dibatalkan pada 2009 namun dilihat perlu sebagai pemangkin perubahan pulau ini dan perlu disambung semula projek pembinaannya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Khairur Rizal Ramli yang dihubungi memberitahu, projek pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman dibawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS).“TDA tidak terlibat secara langsung dalam projek ini. Ia dimulakan oleh Tun (Mahathir) dan harap dapat diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada pulau peranginan ini,” katanya.