KUALA ROMPIN – Jika berkunjung ke daerah Rompin, bagi kaki pancing pasti akan mencari lokasi menarik di Sungai Rompin atau di perairan Kuala Rompin.Pencinta alam semula jadi akan ke Taman Negeri Endau – Rompin semata-mata mencari ketenangan dalam kehijauan hutannya.Mereka yang gemar merasai menu tempatan pula boleh ke Kampung Leban Chondong kerana terdapat medan selera yang menyajikan hidangan enak berasaskan udang galah dan antara buruan utama pemancing di sungai Rompin.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu atau pernah sampai ke satu lokasi menarik dan dikatakan kurang popular di pedalaman Hutan Simpan Lesung dikenali Ai Terjun Harimau Berjemur atau digelar penduduk tempatan sebagai ‘Rimau Berjemur’.Mendengar namanya buat kali pertama tentu sahaja boleh mendatangkan rasa gerun kerana dikaitkan dengan haiwan pemangsa itu selain terletak jauh di kawasan pedalaman dan penempatan penduduk.
Laluan masuk ke lokasi Rimau Berjemur ini perlu melalui jalan balak atau ladang di Muadzam Shah atau Kuala Rompin dan jaraknya tidak jauh berbeza iaitu kira-kira tiga jam.Hanya kenderaan lasak seperti pacuan empat roda atau motosikal lasak yang boleh digunakan selain memerlukan penduduk tempatan berpengalaman sebagai pemandu arah.Wartawan Sinar Harian pernah ke lokasi itu bersama peserta ekspedisi dan tiada yang lebih memuaskan apabila selamat tiba di lokasi selepas menempuh pelbagai cabaran.
Jauh daripada sebarang bunyi kenderaan atau 'gangguan' gajet, bukan ngauman harimau atau ketakutan yang menyambut ketibaan sebaliknya deruan air jernih menenangkan jiwa.Kesegaran kembali bertaut kala merendam kaki selepas perjalanan yang memenatkan.Pandangan menghijau dipagari balak dan pepohon renek yang tidak diketahui usianya memukau mata.Menyusur pinggir sungai jeram sejauh kira-kira 100 meter sudah tentu memberi pengalaman baharu sambil menghirup udara segar hingga sampai di lokasi batu hamparan yang juga menempatkan asal usul kisah diberikan nama Rimau Berjemur.
Satu keistimewaan yang disedari sepanjang menyusur hutan di pinggir sungai jeram itu ialah tiada seekor nyamuk yang menggigit dan mengikut cerita pemandu arah, jika tidur di kawasan itu tidak perlukan ubat nyamuk.Mohd Suhaimi Mohd Idris, 51, berkata, lokasi Rimau Berjemur mula diketahuinya sekitar 1993 melalui cerita yang disampaikan seorang penduduk Orang Asli.Menurutnya yang juga juru pandu arah, perasaan ingin tahu yang memuncak selain minat aktiviti lasak di hutan, Mohd Suhaimi bersama beberapa rakannya memasuki Hutan Simpan Lesung melalui jalan balak lama namun gagal menemuinya pada peringkat awal.
“Selepas tiga atau empat kali menunggang motosikal lasak masuk ke Hutan Simpan Lesung dan ada masa terpaksa berpecah dan tidur dalam hutan, baru kami jumpa lokasi Rimau Berjemur, ketika itu memang puas hati.“Selepas itu kami agak kerap ke sana kerana sudah tahu jalan. Tapi jalan yang dilalui ketika itu sangat berlainan dengan sekarang, masa itu jalan kecil muat untuk motosikal sahaja tapi sekarang sudah besar, pacuan empat roda boleh masuk,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita nama air terjun yang unik ini, ia sebenarnya disampaikan dari mulut ke mulut penduduk tanpa tahu sebab kukuh.Mohd Shuhami berkata, nama Rimau Berjemur itu dikatakan kerana ada batu di kawasan hamparan yang bercorak seakan belang harimau.Menurutnya, corak itu akan kelihatan lebih jelas ketika musim air pasang kerana apabila batu itu dibasahi oleh air, coraknya lebih menonjol seakan belang yang terdapat pada badan harimau sebenar.

“Ketika saya mula sampai di sini dahulu, perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari batu yang dikatakan bercorak belang harimau itu bagi melengkapkan misi ke air terjun ini dan temuinya di kawasan batu hamparan.“Untuk melihat batu bercorak belang harimau ini bergantung pada nasib juga kerana air terjun di sini ada masa airnya tidak banyak terutama pada musim kurang hujan atau kemarau, jadi kena pandai pilih masa untuk ke sini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini seperti lemas atau sesat di kawasan itu.Menurutnya, pesanan rakan-rakan supaya menjaga mulut agar tidak celupar atau terlalu galak sentiasa diingati.

Katanya, mengambil bahan atau khazanah seperti batu juga tidak digalakkan dan kerana ada yang mengalami mimpi dan akan memulangkan semula.“Lagi satu elakkan ambil apa-apa kerana bimbang mengalami mimpi dan perlu kembali memulangkan apa yang diambil. Selain itu cuma kena berhati-hati dengan kepala air namun ia berlaku dalam tempoh singkat sahaja,” katanya.Ditanya tentang binatang buas yang mungkin ada di lokasi, dia mengakui dahulu ada harimau berkeliaran di kawasan itu namun selepas kerja pembalakan berhampirannya, tiada lagi pak belang kelihatan.