TEMERLOH - Exco Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin akan mengkaji dan melihat kesesuaian skop berikutan portfolio barunya kali ini.Sebelum ini, Adun Lanchang itu memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan negeri bagi penggal lalu dan adalah Exco Kerajaan negeri yang senior sejak 2004. Menurutnya, beliau menyambut baik pelantikan tersebut dan menghargai pemilihannya selain bertekad menjalankan tanggungjawab itu sebaik mungkin.“Saya akan menilai dan melihat skop kerja selepas menerima jawatan tersebut.
“Saya nak tahu dan apa yang dibolehkan menerusi skop tersebut (alam sekitar) kerana skopnya meluas dan pelbagai,” katanya kepada Sinar Harian.Menurutnya lagi, bagi skop NGO, beliau akan melihat kesesuaian berikutan peralihan kerajaan baharu oleh Pakatan Harapan (Harapan), kerajaan negeri sudah pasti mempunyai keterbatasan kewangan.“Saya melihat mana-mana NGO yang boleh kita bekerjasama nanti.“Dan bagi skop pelancongan pula, kita akan mengemukakan beberapa cadangan baru untuk memantapkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.
Jelasnya, beliau mendapati aspek promosi dan sebagainya memerlukan kos yang tinggi.“Kita dah kaji apa yang Pulau Pinang, Melaka sudah lakukan dengan mengenakan cukai warisan. Mungkin Pahang akan kaji untuk laksanakan.“Selain itu saya melihat penyusunan agensi-agensi pelancongan di negeri ini seperti Lembaga Pembangunan Tioman, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser.“Kita akan kaji dan supaya tak terlalu banyak. Kita nak satu agensi tetapi fungsinya banyak dan meluas,” jelas Ketua Umno Bahagian Temerloh itu lagi.