Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 158

MARAN - Seramai 60,000 pengunjung disasarkan memeriahkan Pesta Chenor yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 April lalu di Kampung Chenor, Maran dekat sini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Suraya Arbi berkata, jumlah itu berdasarkan Reverse of Investment (ROI) 2017 yang menunjukkan pendapatan pulangan sebanyak RM511,245 dan kehadiran 51,000 pengunjung.

“Berdasarkan ROI tahun lepas, kita optimis mencapai sasaran 60,000 pengunjung dengan ROI sebanyak RM520,000 sehingga tamat pesta ini yang dijadualkan tamat pada petang nanti (semalam) katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Pesta Chenor Pahang yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sasaran tersebut akan melonjakkan semangat dan sambutan Pesta Chenor terutama buat penggiat industri seni dan budaya di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pelancongan Chenor, Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail berkata, lebih 30 agensi di peringkat persekutuan, negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai pesta yang telah dicatatkan dalam kalendar Tahun Melawat Pahang Malaysia dan Pahang itu.

“Penganjuran kali ini tentu sekali bertujuan memperkenalkan Chenor sebagai lokasi dan destinasi pelancongan yang menarik. Di samping memperkenalkan juadah tempatan yang enak dan menarik untuk diketengahkan.

“Melalui sukan air yang diadakan di Sungai Pahang seperti pertandingan lumba bot dan sebagainya, ia langkah kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga sumber alam yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.

Menurut Mohamed Arifin Awang, melalui Pesta Chenor ini juga, pelancong boleh mengambil peluang mengunjungi tempat-tempat menarik dan peninggalan sejarah di Chenor antaranya Bukit Kertau yang menjadi lokasi pusat pemetaan, Rumah Warisan Melayu dan Makam Pahlawan.

“Lebih 40 aktiviti disediakan kepada pengunjung sepanjang program tersebut melibatkan acara di darat dan di sungai.

“Pesta Chenor ini juga secara tidak langsung mempromosikan Sungai Pahang sebagai khazanah dan warisan negeri yang perlu dihargai,” katanya.

Antara acara yang disediakan, termasuklah permainan tradisional, sukan rakyat, perlumbaan kayak dan lumba bot, pertandingan rakit cantik serta pertandingan masakan tradisional Pahang,” katanya.

Turut diselitkan, persembahan kebudayaan, demonstrasi cegah jenayah, pertandingan mewarna, persembahan wayang kulit dan aktiviti jualan.

Pesta Chenor yang dahulunya disebut Pesta Air Chenor adalah merupakan acara khas Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) sebagai satu aktiviti seni budaya dan warisan masyarakat Chenor di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS).