BENTONG - Seramai 19 orang pelancong dari negara China mengalami detik mencemaskan selepas bas persiaran dua tingkat yang dinaiki mereka terbakar di kilometer 10.9 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur di sini semalam.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Arshad Abdullah berkata, kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands.Menurutnya, bomba yang sampai di tempat kejadian pada jam 7.13 petang berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada jam 7.40 petang.
"Bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat kerana kesemua penumpang dan seorang pemandu berjaya keluar dengan selamat dari bas berkenaan."Pada masa ini pihak bomba masih giat melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya.