Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 279

INDUSTRI pelancongan dan pertanian menjadi fokus utama bagi menjadikan Rompin sebagai sebuah destinasi eko pelancongan serta agro pelancongan terkenal negara. Ia berikutan daerah ini sememangnya salah satu destinasi eko pelancongan terunggul negara di samping dalam proses pembangunan agro tani. Pegawai Daerah Rompin, Datuk Mohd Zulkifli Hashim berkata, tahun ini akan mula usaha mempromosi bagi menjayakan Tahun Melawat Rompin 2019. Bertemakan Rompin Eco Agro Paradise, pelaksanaannya selaras dengan dasar kerajaan iaitu Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Bagi destinasi eko pelancongan kita ada Pulau Tioman, Taman Negeri Endau-Rompin dan Royal Pahang Billfish yang popular di kalangan pelancong tempatan atau luar negara. “Agro pelancongan pula sudah mula dibangunkan dan antara yang paling berpotensi adalah ladang tenusu di Muadzam Shah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh berkaitan industri pertanian, Mohd Zulkifli memberitahu kegiatan pertanian merupakan sumber kekayaan baru kepada negara. Beliau berkata, Rompin dianugerahkan saiz yang luas, tanah subur dan bentuk muka bumi yang sesuai untuk pertanian. Katanya, melalui pertanian berteknologi tinggi, aktiviti yang berskala kecil mula dikomersialkan di seluruh Rompin. “Setakat kita ada tiga tapak tanaman kekal pengeluaran makanan (TKPM) yang mencatat prestasi baik pengeluaran makanan dan kita tidak lagi mengimport bekalan luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Yang Dipertua (YDP) Majlid Daerah Rompin (MDR) turut berkongsi beberapa pembangunan yang bakal memacu industri pelancongan di daerah itu. Menurutnya, dari pesisir Sungai Puteri hingga ke Bandar Lama dalam perancangan untuk dimajukan manakala Tanjung Gemok, MDR dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan menaik taraf jeti dan pusat pertumbuhan desa sebagai pintu masuk ke Pulau Tioman.

Katanya, pertumbuhan hotel-hotel di Rompin juga semakin berkembang dengan pertambahan unit dan kini juga sudah ada tempat latihan bagi peminat pesawat ringan. “Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Leban Chondong yang saban minggu menjadi lokasi persinggahan pengunjung yang gemar dengan menu udang galah turut akan di naik taraf. “Taman Negeri Endau-Rompin yang dalam proses naik taraf pula dijangka siap tahun ini manakala projek lain dijangka dibangunkan sebelum 2020,” katanya.