Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 299

TASEK Bera, terletak kira-kira 84 kilometer dari Bandar Bera bukanlah destinasi pelancongan baharu di daerah ini. Sehingga kini, tidak ramai berpeluang mengunjungi kawasan tasik berpaya itu untuk menerokai pelbagai keunikan yang terdapat di kawasan seluas 6,150 hektar.

Tasik semula jadi ini terdiri daripada tujuh lembah yang dibanjiri air sungai yang kemudian membentuk satu sistem tasik sungai dengan keluasan 35 kilometer panjang dan 20 kilometer lebar, merupakan takungan air tawar terbesar di Malaysia.Dengan habibat yang unik dan kepelbagaian biodiversiti, terdapat kira-kira 374 spesies tumbuhan, selain 94 spesies ikan, 230 spesies burung dan 67 spesies mamalia.Jadi, tidak hairanlah apabila Tasek Bera menerima pengiktirafan antarabangsa apabila ia diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama di Malaysia pada tahun 1995.

Baru-baru ini, penulis sempat mengunjungi Tasek Bera yang mengambil masa lebih kurang 90 minit dari Bandar Bera.Setiba di laluan masuk ke Tasek Beraini, perlu mendapatkan kebenaran daripada pengawal keselamatan di hadapan Pejabat Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera.Melalui jalan bertar sejauh lebih kurang lima kilometer sebelum tiba ke destinasi, mata penulis dihidangkan dengan kehijauan pelbagai jenis pokok seolah-olah mengalu-alukan kehadiran penulis.Menghirup udara di Tasek Bera memberikan kesegaran yang tidak boleh diungkapkan dengan perkataan. Selain dihidangkan dengan pandangan tasik air tawar yang begitu luas, halwa telinga penulis turut didengarkan dengan berbagai jenis bunyi burung dan unggas.

Banyak aktiviti yang boh dilakukan di sekitar Tasek Bera ini; antaranya, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti rekreasi di sana walaupun sewaktu menyusuri kawasan tasik yang dipenuhi tumbuhan kercut dan rasau dengan bot sebagai perhubungan utama.Ketika menyusuri tasik, tanpa disedari, pengunjung dapat mengenali corak kehidupan seharian Orang Asli yang tinggal di tebing tasik selain melihatnya secara dekat ketika berada di Kampung Jelawat dan beberapa perkampungan lain.

“Terdapat 28 buah lubuk di Tasik Bera terutama Lubuk Kuin yang merupakan kawasan paling popular kerana di situ sahaja terdapat sekurang-kurangnya 94 spesies ikan air tawar.“Antaranya ialah toman, baung, keli, haruan, lampam belida, tapah, sebarau, jelawat, stem termasuk kelisa,” kata Yang Dipertua Majlis Daerah Bera (MDB), Datuk Razihan Adzharuddin.Menurut Razihan, bagi yang berminat dengan hidupan hutan, pengunjung boleh mengenali khazanah rimba seperti tumbuhan herba tongkat ali, jenis-jenis akar kayu, pokok hutan berharga seperti gaharu dan cendawan.

Katanya, MDB agresif menaik taraf kemudahan di Tasek Bera yang kini memasuki fasa terakhir melibatkan kerja-kerja pembaikan kecil, termasuk membaik pulih rumah penginapan dan telah melantik operator untuk mengendalikan kemudahan itu. “Pembangunan ini mampu memberikan lonjakan ekonomi khususnya kepada masyarakat setempat. “Selain itu, ia membuka peluang pekerjaan masyarakat setempat termasuklah masyarakat Orang Asli,” katanya.