KEMASUKAN pelancong tempatan dan asing untuk tujuan memancing di sungai atau laut menjadikan Jeti Sungai Puteri antara lokasi tumpuan di Kuala Rompin.
Bagaimanapun, jeti milik persendirian yang terkenal dengan nama jolokan Jeti Tok Empat Mat Nor itu memerlukan kos baik pulih yang tinggi setiap tahun berikutan kayu atau batang nibong yang reput perlu diganti.Mohammad Razak Daud, 55, berkata, ada sumber mendakwa peruntukan membina jeti baharu sudah lulus namun dia tidak pasti kebenarannya dan tarikh pembinaan akan bermula.
Menurutnya, bantuan daripada pihak yang berkaitan penting bagi memastikan jeti itu terus menarik kedatangan pelancong sekali gus memberi impak ekonomi yang besar di kawasan Kuala Rompin.Mohammad Razak juga mengakui terkilan kerana usahanya gagal mendapat bantuan daripada pihak berkaitan untuk menaik taraf menjadi jeti yang lebih baik.Justeru, beliau menggesa pembinaan jeti baharu disegerakan selaras dengan industri pelancongan di di daerah itu yang semakin berkembang.Beliau berharap pembinaan jeti itu dapat disegerakan jika benar peruntukannya sudah diluluskan bagi memberi keselesaan kepada pelancong.
“Untuk 2017 sahaja seramai 40,000 pelancong tempatan dan asing telah datang ke sini, mereka menaiki bot di jeti ini untuk pergi memancing pelbagai jenis ikan di perairan Rompin termasuk ikan layaran.“Jumlah kedatangan pelancong paling ramai yang direkodkan pada Julai hingga Oktober, bagi tahun ini pun pelancong sudah mula masuk namun keadaan jeti masih belum dibaiki sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohammad Razak berkata, selain memancing di laut, aktiviti di sungai Rompin seperti mencari kepah dan melihat kunang-kunang juga ada disediakan.Bercerita asal-usul jeti itu, Mohammad Razak memberitahu jeti pada mulanya kawasan hutan sebelum beliau memohon dan mendirikan jeti sebagai tempat pelancongan kekal hingga sekarang.Ia kemudian disewa oleh pengusaha bot namun hasil kutipan sewa tidak dapat menampung kos membaikinya yang menelan belanja RM20,000 hingga RM30,000 setahun.“Kewujudan jeti ini memberi peluang ekonomi kepada pengusaha bot yang kini ada kira-kira 50 bot yang aktif selain menyediakan peluang kerja kepada anak muda tempatan,” katanya.