Kategori: Berita Terkini
Jumlah paparan: 290

KEMENTERIAN Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia meluluskan permohonan kerajaan negeri Pahang untuk menjadikan daerah Temerloh dan Jerantut sebagai salah satu kluster pembangunan Eko Pelancongan Negara  2016-2025.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, destinasi pelancongan Lanchang - Temerloh - Jerantut - Taman Negara akan tersenarai bersama tiga kluster lain di Perak, Sabah, Sarawak.

Menurutnya, dalam Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan 2016-2025 konsep pembangunan eko-pelancongan telah berubah daripada pembangunan destinasi (konservasi & sumber manusia) kepada konsep pembangunan yang Iebih menyeluruh (pelaburan, konsessi, konservasi, lokal komuniti, pemasaran dan konsep kluster) merangkumi 60 kluster di seluruh negara.

“Sebagai permulaan kluster Lanchang Temerloh - Jerantut - Taman Negara akan tersenarai bersama tiga kluster lain iaitu Taiping - Batu Kurau - Bukit Merah (Perak), Sandakan - Kinabatangan (Sabah), Kuching - Bako - Santubong - Kubah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Eko Pelancongan Negara bagi kluster Pahang di bangunan Umno Temerloh, semalam.

Mohd Sharkar berkata, melalui kluster ini juga akan dijadikan asas kepada cadangan pembangunan pakej, keutamaan projek pembangunan RMK11/RMK12, pembangunan sumber manusia, pembangunan komuniti setempat, penswastaan, pemasaran dan Iain-Iain.

Beliau berkata,  projek itu dilaksanakan bagi negeri ini bertujuan supaya lebih ramai mendapat manfaat daripada sektor pelancongan.

Katanya, pendekatan baharu ini akan memberi lebih banyak tawaran destinasi pelancongan  dan tidak hanya tertumpu kepada destinasi utama.

“Ini dapat membantu pembangunan usahawan dan penyertaan penduduk setempat secara Iangsung dalam pelancongan serta menjana pendapatan.

“Kita mahu apabila pelancong melawat Kuala Gandah mereka bermalam di bandar Temerloh menikmati ikan patin, melawat lokasi pelancongan lain seperti Taman Negara dan Kota Gelanggi seterusnya berbelanja lebih.

“Ia seterusnya memberi kesan kepada lebih ramai pengusaha produk seperti perhotelan, inap desa, restoran dan stesen minyak,” katanya.

Mohd Sharkar berkata, promosi  ini dilihat lebih ke hadapan yang membuka lebih banyak peluang pendapatan secara terus kepada rakyat negeri ini.

Beliau turut menghargai usaha Kementerian Pelancongan Malaysia khususnya Bahagian Dasar Pelancongan kerana telah memilih Pahang khususnya Temerloh dan Jerantut sebagai kluster pembangunan Eko Pelancongan Negara dalam pelan Induk Eko Pelancongan Kebangsaan 2016-2025.

“Saya memohon semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, swasta, ketua masyarakat, pemilik produk dan lain-lain pihak  berkepentingan di laluan kluster ini dapat memberi kerjasama memberi maklum balas, cadangan dan sama-sama menjayakan pembangunan eko-pelancongan di kluster Lanchang-TemerlohJerantut-Taman Negara,” katanya.