KUANTAN - Kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Remen Chereh di Sungai Lembing yang menjejaskan kawasan tumpuan pelancong seperti Sungai Hulu Daguk menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan di situ. Sungai Lembing yang sinonim dengan keindahan semula jadi seperti Gunung Tapis , Air Terjun Pelangi, Kolam Air Panas dan Bukit Panorama seharusnya tidak diusik walaupun untuk tujuan pembangunan. Produk pelancongan itu sudah menarik ratusan ribu pelancong ke kawasan itu sejak sekian lama.
Namun, dek kerakusan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kawasan tumpuan semakin tercemar. Bagi anak jati Sungai Lembing, Mohd Saiful Hamzah, 34, sektor pelancongan di Sungai Lembing bukan perkara baru tetapi ia popular sejak dahulu lagi. Katanya, Pekan Sungai Lembing yang masih kekal dengan golongan veteran iaitu penduduk asal terutama kaum Cina menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar. "Banyak produk pelancongan di Sungai Lembing sama ada di dalam hutan mahupun di kawasan Pekan kecil ini.
"Bagi pencinta alam semula jadi, kawasan Air Terjun Pelangi dan Gunung Tapis menjadi pilihan untuk diterokai. Namun sejak beberapa minggu lalu, kami dikejutkan dengan keadaan di Sungai Hulu Daguk yang tercemas akibat pembalakan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Hulu Daguk tercemar, tapak perkhemahan hilang seri]
Bagi pemandu pelancong, Azmi Mansor, 45, pula, tidak setuju pembalakan dijalankan di kawasan pelancongan berkenaan sehingga menjejaskan produk pelancongan di situ. Katanya, dia mendapat pelbagai maklum balas daripada rakan-rakan dan juga operator pelancongan ekoran keadaan berkenaan. "Tidak lama lagi cuti sekolah dan biasanya kawasan di sini akan menjadi tumpuan pelancong untuk melakukan aktiviti mendaki dan sebagainya. "Jika keadaan berterusan, macam mana kita mahu bawa pelancong masuk ke dalam hutan kalau keadaannya tidak seperti mana yang digambarkan mereka. Ini bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan tetapi juga pendapatan kami yang terlibat," katanya. Sinar Harian semalam menyiarkan laporan Sungai Hulu Daguk dan tapak perkhemahan 2 tercemar disebabkan aktiviti pembalakan. Pokok di kawasan itu ditebang dan ada juga yang tumbang merentangi sungai yang terkenal sebagai Spa Ikan dan menjadi habitat ikan tengas.