A- A A+
21 Feb, 2018

 

KUANTAN - Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot hari ini melebarkan sayap dengan melancarkan laluan baharu dari Singapura ke Kuantan. Laluan baharu itu merupakan destinasi keenam di negara ini selepas Kuching yang bermula Disember tahun lepas.

Scoot menawarkan tiga kali penerbangan seminggu pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat dengan harga tambang bermula RM45 bagi perjalanan sehala. Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, syarikat penerbangan dari Singapura itu memilih Kuantan sebagai destinasi kerana keindahan dan tarikan alam semulajadi yang dimiliki di negeri ini. "Kerajaan negeri mengalu-alukan Scoot yang mengambil pendekatan untuk membuka laluan baharu dari Singapura ke Kuantan sebagai pintu masuk ke negeri Pahang yang memiliki keindahan hutan dan pantai.

"Kita percaya dengan bilangan 241,000  penumpang yang direkodkan di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah pada Disember tahun lalu, secara langsung meningkatkan keyakinan Scoot untuk menjadikan Kuantan sebagai salah satu destinasi mereka. "Selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Ipoh dan Kuching, kini Kuantan menjadi laluan tambahan kepada hubungan antarabangsa dua negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian, dalam satu sidang media Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Scoot ke Pahang di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Komersial Scoot, Vinod Kannan; Adun Panching,Datuk Mohd Zaili Besar; Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Idros Yahya. Dalam sambutan hari pertama ketibaan pesawat Airbus 320 milik Scoot yang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini, seramai 120 penumpang yang berlepas dari Singapura pada jam 1.20 petang dan tiba di Kuantan, sekitar jam 2.40 petang tadi.

Dalam pada itu, tambah beliau, dengan adanya laluan baharu tersebut, secara tidak langsung mampu memberi manfaat kepada industri pelancongan negeri Pahang sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini. Sementara itu, Kannan berkata, Kuantan merupakan strategi baharu Scoot dalam mengembangkan perkhidmatan penerbangan tambang murah mereka. Katanya lagi, melalui hubungan dua hala ini juga dapat menarik pelancong bagi kedua-dua negara.

"Kami bukan sahaja memperkenalkan produk pelancongan Pahang kepada rakyat Singapura, malah pelancong antarabangsa dari seluruh dunia yang memilih Scoot. "Kami percaya banyak ruang perniagaan dan destinasi menarik dapat dibawa kepada penumpang-penumbang dengan kadar tambang menakjubkan serta berbaloi yang ditawarkan," katanya.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr 1msia