SHAH ALAM - Pas menyokong penuh kempen menyelamatkan hutan Merapoh, yang kini didakwa semakin nazak dengan aktiviti pembalakan.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan berkata, Pas berjaya mengesan banyak lesen pembalakan di kawasan tadahan air diberikan di sekitar kawasan berkenan.
"Contohnya seperti Kampung Baru, Kampong Sungai Terlang Jerantut, Kampung Som dan lain-lainnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu menurutnya, kerajaan Pahang perlu menghentikan pemberian lesen pembalakan dan kawasan tadahan air dan kawasan tanah tinggi tanpa sebarang kajianPenilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) atau mengambil kira khazanah yang ada.
"Membangunkan industri pelancongan dapat menambahkan pendapatan penduduk di sekitarnya manakala aktiviti pembalakan yang menguntungkan segelintir yang kaya dan berkuasa," katanya.
Beliau berkata, oleh itu, kerajaan Pahang perlu mempertahankan dan mengutamakan khazanah-khazanah ini yang boleh membawa pendapatan berpanjangan daripada industri pelancongan daripada sumber pembalakan yang hanya sekali lalu dan merosakkan khazanah pelancongan yang ada.
Awal November lalu, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengarahkan Jabatan Perhutanan Pahang diarah segera memantau isu pembalakan dan pembukaan hutan seluas 668 hektar di Mukim Batu Yon, Merapoh, Lipis.
Difahamkan, air Sungai Merapoh kini tercemar dan keruh. Sungai itu merupakan sumber air kepada Kampung Mentara, Berhamah, Kubang Rusa, Teluk Gunung, Persit, Ulu Kumbang dan Merapoh.