KUALA ROMPIN - Dua penduduk Pulau Tioman dilaporkan hilang selepas bertolak menaiki bot laju dari Jeti Sungai Puteri, di sini, sekitar jam 1.30 petang, semalam.
Difahamkan, kedua-dua mangsa, Amat Muhamad, 50, dan Mohd Abdul Lattif Kasim, 20, dalam perjalanan pulang ke pulau peranginan itu namun dipercayai hilang apabila didapati tidak sampai di lokais dituju.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, abang seorang mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka.
"Operasi mencari mula dilakukan jam 7 pagi tadi melibatkan pasukan polis, Maritim dan Jabatan Taman Laut Malaysia Pahang dengan kekuatan 73 anggota.
"Operasi turut melibatkan penduduk kampung seramai 24 orang melibatkan enam buah bot," katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Azli berkata, keadaan cuaca yang bermula cerah namun berubah hujan lebat dan laut bergelora pada tengah hari tadi, menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.