A- A A+
20 Oct, 2017

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah mahu menjadikan Hotel Grand DarulMakmur sebagai mercu tanda kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang didokong oleh umat Islam di negeri ini.

Baginda bertitah, walaupun bangunan tersebut lebih tua, namun ia mampu menjadi salah sebuah hotel gah di Pahang selepas diurus tadbir sepenuhnya oleh Muip.

Titah baginda, pemilikan hotel itu juga secara tidak langsung memberikan pelbagai keuntungan kepada pihak majlis dan ia sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di sini.

“Manfaat yang dapat dilihat seperti peluang pekerjaan, status halal untuk restoran, keuntungan dari hasil sewaan dan yang paling utama ialah kenaikan dalam harga nilaian semasa bangunan hotel ini.

“Lokasi hotel yang terletak di tengah-tengah bandar memberi kelebihan berterusan dan menjadi kekuatan ekonomi orang Islam di bandar Kuantan,” titah baginda sewaktu berucap pada majlis pelancaran penjenamaan semula Grand DarulMakmur.

Sebelum ini, hotel terbabit dikenali sebagai MS Garden, namun dijenamakan semula selepas Muip membeli bangunan dan pegangan saham hotel terbabit, selepas tempoh perjanjian lima tahun berakhir pada Mei tahun lalu.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Muip merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Muip Hotel Sdn Bhd, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Tengku Abdullah bertitah, pembelian hotel tersebut oleh Muip pada awal 2012 telah menjadi isu di media sosial apabila banyak pihak yang mengada-adakan cerita tidak benar untuk menghalang cadangan pihak majlis membeli bangunan ini dari Dana Harta Sdn Bhd.

“Saya sendiri sebagai Yang Dipertua Majlis telah beberapa kali ditanya pemberita tentang hala tuju majlis (Muip) berhubung pembelian hotel ini.

“Tapi kini bangunan hotel ini telah berjaya dimiliki oleh pihak Majlis dengan belian RM55 juta dan menggunakan sumber Baitulmal majlis keseluruhannya,” titahnya.

Baginda bertitah lagi, penjenamaan semula hotel merangkumi fasiliti yang baharu, berkualiti dan layanan lebih baik dapat ditawarkan oleh pihak hotel seiring dengan pengubahsuaian lobi baharu hotel dan restoran demi keselesaan pelanggan.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah yakin dan percaya nama baharu hotel tersebut mampu membawa potensi perniagaan yang lebih besar kepada hotel pada masa akan datang.

“Keputusan pihak majlis untuk menguruskan sendiri hotel ini adalah satu keputusan tepat di mana pemilikan 100 peratus membolehkan pihak majlis mengatur perniagaan hotel mengikut budaya dan polisi pihak majlis,” katanya.

Baginda juga mahu kerajaan negeri lebih proaktif dalam mempromosikan aktiviti pelancongan di negeri ini.

Titah baginda, infrastruktur dan prasarana pelancong perlu diperbaiki dan diselenggara dengan baik.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr 1msia