FELDA TEMBANGAU 2 - Keputusan kajian penyelidikan mengenai idea pembangunan Tasek Bera oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) perlu dipercepatkan supaya pembangunannya dapat dinikmati rakyat Malaysia khususnya warga Bera.
Pengerusi Pengelola Mardi, Datuk Mohd Fadil Osman berkata, kajian penyelidikan itu yang siap awal tahun ini, mencadangkan beberapa pembangunan dari pelbagai sektor termasuk pertanian dan sosio-ekonomi.
“Mardi dipanggil untuk bersama-sama melahirkan idea dan menerusi kepakaran Mardi, Tasek Bera boleh dibangunkan seperti Tasik Kenyir di Terengganu dan Mardi Agropark Cameron Highlands.
“Jadi, kita buat penyelidikan dan kajian dalam tempoh beberapa bulan di kawasan terbabit. Cuma sekarang, Jabatan Pembangunan Desa negeri, Majlis Daerah Bera dan Mardi perlu bergabung tenaga,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peneroka Felda Tembangau Dua Pahang Berhad Kali Ke-24 di sini, semalam.
Katanya, kelewatan melaksanakan idea atau cadangan yang dikemukakan itu menyebabkan Bera ketinggalan untuk menerima penambahan pengunjung luar sedangkan Tasek Bera berpotensi sebagai lokasi pelancongan menarik.
“Perkara ini harus disegerakan kerana sekarang kita terlepas banyak acara seperti Tahun Melawat Pahang 2017.
“Selagi tak dimajukan, selagi itu kita terlepas peluang menerima pengunjung. Saya lihat Tasek Bera memang ada banyak aktiviti boleh dilaksanakan.” katanya.
Beliau yang juga Adun Kemayan berkata, antara idea dan cadangan dalam penyelidikan itu ialah penanaman padi huma, ternakan ayam kampung dan rusa serta mengaktifkan kebudayaan masyarakat Orang Asli Semelai