A- A A+
12 Dec, 2017

TIOMAN - Pulau Tioman yang merupakan antara pulau peranginan tarikan utama di Pahang sekali lagi dicemari dengan sisa minyak iaitu kejadian kali kedua direkodkan pada tahun ini.

Kejadian sama turut berlaku pada Jun lalu iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri yang mencemarkan pantai di Berjaya Tioman Resort dan pantai Kampung Juara namun telah dibersihkan oleh penduduk setempat serta NGO melalui gotong-royong.

Kejadian kedua yang disedari kelmarin adalah sisa minyak dalam bentuk ketulan kecil yang hanyut di perairan Pulau Tulai dan Batu Malang selain turut mencemarkan pantai kedua pulau berkenaan.

Koordinator Reef Check Malaysia, Alvin Chelliah, berkata, sisa-sisa minyak berwarna hitam itu berkumpul di kawasan perairan berhampiran kedua pulau itu yang menjadi tumpuan pelancong untuk menyelam dan turut terkena pada mereka.

Menurutnya, apabila penyelam yang juga terdiri daripada pelancong asing itu naik ke permukaan, sisa minyak itu melekat pada badan atau kelengkapan menyelam yang mereka pakai.

"Kita dapati sisa minyak ini hanyut dari tengah laut dan menghampiri Pulau Tulai serta Batu Malang, ada sedikit yang telah terdampar di pantai kedua pulau ini, setakat ini kita juga tidak tahu dari mana puncanya.

"Kita juga telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan pihak bertanggungjawab lain, setakat ini hanya Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang yang respon, mereka telah ke lokasi untuk mengambil sampel," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Alvin berkata, walaupun telah masuk hari ketiga (semalam), sisa minyak itu masih banyak didapati menyebabkan beliau bersama beberapa pihak terlibat buntu mencari jalan untuk membersihkannya kerana ia berbentuk ketulan-ketulan kecil.

"Setakat ini kita hanya mampu menanti sisa-sisa minyak itu terdampar di pantai dan boleh menyodok dengan skop sebelum letak dalam guni, tapi ia secara tidak langsung akan mencemarkan pantai serta mungkin menjejaskan hidupan laut atau alam sekitar lain," katanya.

Alvin berkata, pihak yang menguruskan aktiviti menyelam turut mengadu padanya bahawa pelancong berasa kecewa dengan pencemaran itu kerana ia mengotori bot, kelengkapan menyelam dan pakaian pelancong.

Katanya, kotoran minyak itu sukar untuk ditanggalkan kerana ia sisa minyak yang terlalu pekat dan sudah tentu boleh mendatangkan kerugian kepada pelancong atau pihak terlibat yang menyediakan kelengkapan menyelam.

"Setakat ini saya bersama pihak lain masih berbincang dengan JTLM Pahang bagi mencari kaedah terbaik untuk menghadapi situasi ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah JTLM Pahang, Mohd Fazli Long yang dihubungi mengesahkan mengenai kejadian pencemaran itu dan telah membuat tinjauan ke lokasi.

Menurutnya, setakat hari ini tiada penemuan pencemaran baharu di pulau itu dan laporan rasmi telah dikemukakan kepada jabatan bertanggungjawab.

Beliau turut menasihati para pelancong agar menjauhi atau mengelak berada di kawasan yang ada sisa minyak dan mencari lokasi lain untuk melakukan aktiviti menyelam atau sebagainya.

"Sekarang kita masih menunggu maklum balas daripada pihak bertanggungjawab sebelum sebarang tindakan susulan diambil kerana isu sebegini melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi atau jabatan," katanya.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr 1msia