A- A A+
20 Oct, 2017

KUANTAN - Jumlah kehadiran pelancong ke Pahang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dicatatkan meningkat kepada lapan juta berbanding hanya enam juta pelancong tempoh sama pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata peningkatan tersebut berikutan kempen berterusan dan agresif untuk menarik kehadiran pelancong bersempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.

"Selain kempen yang berterusan menerusi laman sosial dan televisyen serta radio, kita juga telah mengadakan banyak aktiviti dan acara baharu bagi menarik kehadiran pelancong di negeri ini.

"Hasilnya jumlah kehadiran pelancong dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan kita optimis mampu mencapai kehadiran 15 juta pelancong seperti yang disasar sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Menurutnya antara tempat produk baharu pelancongan yang kini sedang giat dipromosikan di negeri ini ialah Taman Rekreasi Che Minah Sayang di Maran atau dahulunya dikenali sebagai Lubuk Ujid, kawasan paya 'Black Water Jewel di Pekan, dan Merapoh Run di Lipis.

Selain itu, Mohd Sharkar berkata, acara pelancongan seperti kayuhan basikal Kuantan 160 Century Ride, memancing Royal Pahang Billfish Century Ride International Challenge dan selaman Start in Tioman turut diadakan kerana mempunyai peminatnya tersendiri dari dalam dan luar negara.

"Kita dapati sejak kebelakangan ini acara yang berbentuk sukan pelancongan mempunyai pengikut yang tersendiri dan oleh sebab itu kita akan memikirkan untuk memperbanyakkan lagi acara seperti ini pada masa akan datang," katanya.

Dalam masa sama, katanya kerajaan negeri akan terus memperhebatkan promosi TMP 2017 selepas sambutan Aidilfitri nanti dengan mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia.

"Untuk jelajah peringkat Zon Selatan, kita bersama penggiat pelancongan telah pun selesai melakukannya pada Mei lalu dan selepas ini kita akan meneruskannya ke Zon Utara, Zon Timur sebelum ke Sabah dan Sarawak.

"Kita juga akan ke Kazakhstan, China, India dan Turki berikutan ada permintaan untuk kita mengadakan promosi di sana," katanya. - Bernama

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr 1msia