TEMERLOH - Jabatan berkaitan diminta menyiasat kejadian banjir kilat yang berlaku di Kuala Gandah kerana kawasan tersebut sebenarnya berada di kawasan tinggi dan tidak pernah banjir sejak 60 tahun lalu.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menggea Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan membuat kajian terprinci fenomena baharu itu yang menyebabkan kawasan tinggi seperti Kuala Gandah dan Bukit Rengit dilanda banjir.
Menurutnya, terdapat beberapa spekulasi antaranya ada yang mengatakan kejadian itu dipercayai berpunca daripada penutupan empangan Klau yang menyebabkan air melimpah dan masuk ke kawasan lembah anak Sungai Teris, Sungai Jenalik dan Sungai Senut.
"Air dari empangan ini sepatutnya mengalir ke Sungai Semantan tetapi kita lihat apa yang berlaku Sungai Semantan tidak meningkat paras airnya tidak banyak berubah sebaliknya air dari empangan ini melimpah ke tiga anak sungai ini dan menyebabkan berlaku banjir yang begitu besar di Kuala Gandah.
"Banjir kilat ini menjejaskan Pusat Konservasi Gajah, Deerland, Institut Biodiversiti dan juga Lembah Harimau juga menyebabkan beberapa kawasan penempatan penduduk tempatan di Kuala Gandah dan penempatan Orang Asli terjejas," katanya semalam.
Beliau berkata demikian selepas melawat beberapa kawasan terjejas akibat kejadian banjir kilat itu yang berlaku pagi semalam.
Mohd Sharkar berkata, kejadian banjir berkenaan amat mengejutkan banyak pihak dan perlu disiasat dengan terperinci.
"Ini kali pertama berlaku dalam sejarah kita di sini, malah banjir besar pada 1971, 2007 dan 2014 pun tidak menjejaskan kawasan ini.
Mohd Sharkar yang juga Adun Lanchang berkata, kawasan berkenaan dipilih sebagai lokasi pelbagai pusat pemuliharaan sebelum ini kerana ia adalah kawasan yang bebas daripada banjir.
"Kejadian banjir yang berlaku di kawasan itu semalam amat mengejutkan dan mendukacitakan pihaknya dan masyarakat di situ," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian banjir yang berlaku semalam menyebabkan kerugian kepada banyak pihak termasuklah menjejaskan kedatangan pelancong ke Temerloh yang telahmerekodkan kira-kira 200,000 pengunjung tahun lalu.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal tiada gajah di pusat konservasi berkenaan mati tetapi hanya beberapa ekor rusa dan haiwan peliharaan kecil yang didapati hilang dikhuatiri lemas.
"Pada masa ini kesemua pusat pemuliharaan hidupan liar di Kuala Gandah yang terjejas termasuklah Pusat Konvservasi Gajah Kuala Gandah ditutup sehingga dimaklumkan kelak bagi proses pembersihan.
"Pelbagai pihak termasuk Umno Temerloh telah menggerakkan pasukan sukarela dan menyalurkan bantuan awal berupa makanan kepada semua mangsa," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku jam 2 pagi kelmarin itu banjir kilat luar biasa itu menyebabkan kerrosakan pada banyak infrastruktur di Kuala Gandah.
Sumber : Sinar Harian