KUANTAN – Tasik Chini perlu diwartakan sebagai taman negara bagi tujuan menyelamatkan tasik tersebut daripada terus tercemar sehingga menghilangkan daya tarikan pelancongan.
Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, pewartaan tasik yang popular dengan kisah dogeng yang dikaitkan dengan seekor naga itu sewajarnya dilakukan segera sebelum ia lebih parah dengan pelbagai pencemaran berikutan wujudnya aktiviti pembalakan dan perlombongan bijih besi di kawasan berhampiran.
Selain pewartaan tasik itu, beliau turut menyarankan agar ada satu badan kekal yang ditugaskan khas untuk menyelaras tugas pemeliharaan, pemuliharaan, pelancongan dan penguatkuasaan Tasik Chini.
“Bukan saya saja yang mahu tasik itu dipelihara, tapi penduduk kaum asli di kawasan berhampiran juga mahu kawasan itu dijaga sebaiknya," katanya.
Kelmarin, Wan Juanidi membuat lawatan ke tasik terbabit dan mendedahkan kekeruhan air di Tasik Chini bukan disebabkan aktiviti pembalakan, sebaliknya limpahan air Sungai Pahang pada musim tengkujuh.
Beliau turut menegaskan kekeruhan itu akan hilang selepas banjir berakhir dan tidak menjejaskan kualiti air Tasik Chini yang kekal berada pada tahap kelas 1 dan 2.
Menyentuh lanjut mengenai kenyataan tersebut, Chean Chung berkata, kenyataan terbabit tidak memberi gambaran sebenar, malahan cuba mengelirukan orang awam.
Katanya, sebelum ini, air Sungai Pahang sudah melimpah masuk ke Tasik Chini beberapa kali setahun sebelum pembinaan empangan dan tiada sebarang pencemaran berlaku, malah laporan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004 membuktikan bahawa pembalakan, perlombongan haram dan perladangan akan menjejaskan mutu tasik berkenaan.
Dalam pada itu, Chean Chung yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberitahu, pemusnahan itu turut mengganggu kehidupan Orang Asli setempat.
“Saya percaya keadaan ini mengganggu kehidupan, budaya dan tradisi warga Jakun yang amat bergantung kepada sumber hutan,” katanya.