TIOMAN - Kejadian lebih 500 pelancong terkandas di Pulau Tioman sejak Ahad lalu disebabkan angin kencang dan ombak besar bukan pertama kali berlaku di pulau peranginan itu, sebaliknya hampir setiap tahun pada musim monsun.
Dalam kes terbaharu, kesemua pelancong yang terkandas berjaya dikeluarkan hasil bantuan kapal KD Terengganu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan feri milik Bluewater Express dari Jeti Mersing, Johor,
Kejadian itu sukar diramalkan kerana ia adalah fenomena alam yang biasanya berlaku bermula November hingga Februari, dan sepanjang tempoh tersebut ada waktu tertentu ia berlaku serta sukar dijangka.
Pemilik Salang Pusaka Resort, Abdul Khalid Mohamad, 60, berkata, pihaknya membantu pelancong yang terkandas dengan menawarkan potongan harga penginapan 50 peratus setiap hari kepada mereka yang terpaksa terus menginap.
Menurutnya, tindakan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap pelancong terperangkap di kampungnya, manakala urusan makan dan minum mereka boleh membeli di restoran yang disediakan.
“Sebagai pengusaha chalet saya tentu ada rasa tanggungjawab dan timbang rasa kepada pelanggan, jadi baru-baru ini saya berikan separuh harga kerana mereka terpaksa menginap lebih lama. Resort atau chalet lain saya tak pasti pula.
“Masalah pelancong terperangkap di Pulau Tioman akibat angin kuat dan ombak besar ini bukan perkara baru, selalunya ia terjadi sebab angin datang mengejut sedangkan sebelum (pelancong) datang cuaca elok,” katanya, semalam.