KUANTAN - Pahang berada di kedudukan ketiga tertinggi menerima kehadiran pelancong tahun lepas dan kini berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran 15 juta pelancong bersempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.
Berdasarkan statistik, seramai 10.5 juta pelancong berkunjung ke negeri ini pada 2015 dan meningkat kepada 12 juta pada 2016.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, semua agensi kerajaan dan pihak terbabit dalam industri pelancongan perlu mengambil peluang penganjuran TMP 2017 bagi mencapai sasaran tahun ini.
Titah baginda, semua pihak perlu memainkan peranan memperkenalkan dan mempromosi negeri Pahang dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.
“Kita kena pertingkatkan aspek mengurus destinasi pelancongan supaya lokasi itu dapat menarik pelancong bukan sahaja untuk tahun ini sebaliknya untuk tahun-tahun akan datang.
“Pihak bertanggung jawab diharap dapat memastikan keselesaan dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini...pastikan infrastruktur disediakan dalam keadaan baik,”titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika Majlis Pengisytiharan TMP 2017 di pekarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, di sini malam kelmarin.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Exco Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Tengku Abdullah bertitah, kebersihan lokasi tumpuan pelancong perlu dijaga bagi mengelak masalah penyebaran penyakit berjangkit...contohnya, penyakit kencing tikus yang dikhuatiri boleh mengakibatkan pelancong tidak berminat untuk berkunjung.
“Tahun 2017 bakal menjadi penanda aras kepada semua destinasi pelancongan di negeri termasuk di seluruh pelusuk daerah agar terus menjadi pilihan pelancong,”titah baginda.
Sementara itu, Adnan berkata, hasil pelancongan tidak terus kepada kerajaan negeri kerana cukai berkaitan dibayar pada kerajaan pusat kecuali cukai pintu kepada pengusaha hotel, restoran dan pemain industri lain.
“Namun pelancongan dapat menjana ekonomi rakyat di samping hotel, resort, teksi, peniaga dan sebagainya, maka kita perlu sokong sektor pelancongan.
“Kita ada banyak produk pelancongan tetapi berdepan masalah kewangan dengan mengambil kira faktor seperti lokasi, penyelenggaraan dan promosi sesuatu destinasi.
“Diharap TMP 2017 akan beri momentum baik untuk tempoh jangka panjang,” katanya. - Sinar Harian