BENTONG - Kementerian Pengangkutan akan menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Sumber Manusia bagi mengadakan latihan khusus kepada pemandu-pemandu bas baharu dalam usaha mengelakkan tragedi kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspress.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, selain membantu menampung keperluan pemandu bas ekspres pendekatan ini juga dapat melahirkan pemandu bas ekspres yang profesional.
"Kita telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi melancarkan kursus dan latihan khas kepada pemandu-pemandu baru dan sesiapa yang ingin menjadi pemandu bas ekspress boleh memohon melalui Kementerian Sumber Manusia.
"Kementerian Pengangkutan juga bercadang untuk menaiktaraf pemandu bas dan pemandu lori yang mana cara pemanduan mereka perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya dalam sidang media pada majlis sambutan Tahun Melawat Pahang 2017 di Plaza Tol Bentong di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Kementerian dan Kebudayaan negeri, Datuk Idros Yahaya.
Tiong Lai berkata, melalui kursus dan latihan bekenaan pemandu-pemandu bas baharu ini akan didedahkan dengan cara pemanduan yang profesional dan pengetahuan teknikal mengenai pengendalian bas ekspress.
“Mereka juga akan didedahkan dengan kefahaman yang tinggi dan fokus kepada pemanduan seterusnya mengutamakan keselamatan penumpang dan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan tetap melaksanakan peraturan mewajibkan pemandu kedua setiap bas ekspres bagi perjalanan melebihi 300 kilometer meskipun mendapat bantahan daripada pengusaha bas ekspres.
Tambah Tiong Lai, peraturan mewajibkan pemandu kedua amat relevan dan merupakan peraturan standard yang turut dipraktikkan di negara-negara lain.
"Kerajaan tidak sewenang-wenangnya mengenakan peraturan atau pun menyusahkan pengusaha bas tetapi bagi menjaga keselamatan orang ramai dan penumpang.
"Kita boleh berbincang dan melihat cadangan mereka tetapi kita hendak tegaskan di sini bahawa perjalanan jauh melebihi empat jam memerlukan pemandu kedua yang mana perlulah menukar pemandu kerana pemandu juga perlu berehat,” katanya.
Tambahnya, pihak kementerian juga sedia mendengar cadangan daripada pengusaha bas ekspress mengenai pelaksanaan peraturan berkenaan.