A- A A+
24 Aug, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

KUALA ROMPIN – Musim monsun di pantai timur yang sudah sinonim dengan ombak besar, hujan lebat berpanjangan dan ada masanya berlaku banjir menyebabkan penduduk di sekitar Kuala Rompin kurang aktif.

Situasi demikian tidak mustahil boleh memberi pengalaman berbeza apabila program sesuai dianjurkan dengan menjenamakan musim itu sekali gus mampu mengikis imej monsun yang selama ini sudah sebati.

Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain berkata, musim monsun dilihat boleh menyebabkan ada indvidu menjadi kurang aktif terutama di kalangan mereka yang bekerja di sektor perikanan atau pertanian.

Justeru itu, beliau merasakan perlu adanya program dalam bentuk aktiviti sukan secara santai yang boleh disertai semua peringkat umur selain mengangkat ia sebagai satu jenama yang bakal diingati apabila tiba musim monsun.

“Sebelum ini apabila tiba musim monsun, ia akan dilalui penduduk zon pantai Rompin ini dengan begitu sahaja tetapi kini ia bagai meninggalkan satu kenangan menarik bagi mereka yang menyertai Monsun Night Run 2016.

“Jika tiada masalah atau kekangan, program larian seperti ini boleh dianjurkan setiap kali musim monsun dan terbuka kepada sesiapa pun untuk menyertainya, tidak mustahil ia juga mampu menjadi tarikan pelancongan baharu bagi kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Seramai kira-kira 1000 peserta daripada pelbagai peringkat umur membanjiri Dataran Rompin, malam tadi bagi menyertai program larian anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin dan Pejabat Exco Belia dan Sukan Pahang.

Program yang turut mendapat kerjasama Kelab Sukan Rekreasi dan komuniti Parlimen Rompin (SRCC) itu turut dihadiri Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin serta Pegawia Daerah Rompin, Datuk Mohd Zulkifli Hashim.

Johari yang juga merupakan Adun Tioman itu berkata, maklum balas positif diterima daripada semua peserta yang begitu gembira dengan program dianjurkan itu dan jumlah penyertaan yang agak besar bagi program pertama kali dianjurkan itu adalah di luar jangkaan. - Sinar Harian

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr