A- A A+
22 Nov, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

JERANTUT - Seekor burung enggang dari spesies enggang papan dilepaskan oleh pihak Mutiara Resort Taman Negara (MRTN) setelah hampir tiga bulan berada di bawah jagaan mereka untuk proses rehabilitasi.

Pelepasan burung itu disempurnakan oleh Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fadh Mua'adzam Sultan Ahmad Shah yang berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan pada 6 Disember lalu.

Pengurus MRTN, Nurul Nuzairi Mohd Azahari memaklumkan, burung enggang yang dikenali sebagai Great Hornbill itu dijaga di bawah pengurusan resort dengan sokongan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, MRTN telah mengambil inisiatif berkenaan diambil setelah burung enggang papan itu menjalani proses rehabilitasi di pekarangan resort itu dan dalam tempoh berkenaan, pihak resort telah menyediakan makanan secara berjadual dan diet bersesuaian.

"Kehadiran burung enggang berkenaan di pekarangan resort ini mencuri perhatian pelancong dan sepanjang tempoh rehabilitasi, pelancong mengambil kesempatan merakam gambar kenangan mereka bersama burung itu memandangkan ia merupakan spesies burung yang jarang ditemui.

"Selain itu, ia turut menceriakan suasana di MRTN dengan kicauannya sekali gus memberikan suasana damai dan tenang ketika berada di resort ini," katanya.

Difahamkan burung enggang papan itu merupakan yang terbesar pernah direkodkan dan ia dikatakan mempunyai pasangan seumur hidup.

Nurul Nuzairi berkata, menjadi harapan pihaknya untuk melihat semua spesies burung dapat berkembang biak dan menjadikan Taman Negara sebagai destinasi untuk melihat burung sekali gus meningkatkan sektor avitourism.

"Saya difahamkan terdapat 10 spesies burung enggang dalam negara ini dan daripada jumlah itu, lapan spesies boleh dilihat di Taman Negara Kuala Tahan.

"Dalam pada itu kakitangan MRTN sangat berbesar hati menerima kunjungan Tengku Arif Temenggong Pahang dalam program lawatan ke Jerantut sekali gus menyempurnakan acara simbolik pelepasan burung enggang berkenaan," katanya.

Majlis Pelepasan burung enggang papan itu merupakan simbolik memuliakan keberangkatan Tengku Arif Temenggong Pahang ke daerah ini yang mana majlis berkenaan turut dihadiri Adun Kuala Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak dan Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Nor Asmaliza Ku Lah.

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr