A- A A+
14 Nov, 2019

Facebook twitter You Tube Instagram

KUALA ROMPIN – Air Terjun Rimau Berjemur yang terletak di Hutan Simpan Lesung perlu diwartakan sebagai kawasan rekreasi bagi tujuan memelihara khazanah alam semula jadi yang terdapat di daerah itu.

Ia kini mula mendapat perhatian pengunjung tempatan dan asing yang ke sana secara berkumpulan untuk berkelah sambil melihat kehijauan alam semula jadi di samping merasai kesejukan air terjun tersebut.

Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain berkata, air terjun yang terletak kira-kira dua hingga tiga jam perjalanan dari Bandar Kuala Rompin itu memiliki potensi untuk menjadi lokasi tarikan baharu.

Bukan sekadar tarikan bagi daerah Rompin, Johari menegaskan ia juga mampu menjadi tarikan pelancongan baharu bagi negeri Pahang selaras dengan Tahun Melawat Pahang pada tahun hadapan.

“Saya lihat air terjun ini ada potensinya tersendiri kerana ketika menyertai ekspedisi ke sana, saya terserempak dengan sekumpulan pelancong Singapura hampir 50 orang untuk berkelah di sana, jadi ia sudah mula dikenali pelancong luar.

“Seingat saya dalam Visit Pahang 2017 turut ada memaparkan kawasan air terjun ini antara yang boleh dilawati pelancong jika berkunjung ke Pahang, jadi perlu ada tindakan berbentuk mewartakannya sebagai kawasan rekreasi atau memeliharanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ekspedisi yang disertai 120 peserta melibatkan Pemuda Umno Rompin, Kelab Pacuan Empat Roda Rompin, Kelab Motosikal Lasak Rompin dengan kerjasasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah berlangsung selama tiga hari serta yang berakhir semalam.

Dalam pada itu, Mohd Johari yang juga merupakan Adun Tioman turut berharap Jabatan Perhutanan Pahang memandang serius dan mempertimbangkan cadangannya itu supaya kawasan air terjun itu tidak dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai anak kelahiran Rompin, saya amat mengalu-alukan mana-mana pihak khususnya kerajaan negeri melalui jabatan pelancongan untuk terus memperomosikan kawasan air terjun itu kerana saya yakin ia antara air terjun bertingkat tercantik di Pahang.

“Melalui promosi dan pewartaan yang dilakukan, saya yakin ia juga mampu menjana ekonomi penduduk setempat dalam pelbagai sektor kerana ia secara tak langsung menarik ramai pelancong ke daerah ini,” katanya

mygov sukpahang pemudah hrmis bpa iim jpa ksn mampu msc spa spr