TANJUNG GEMOK - Ramai pelancong tempatan atau asing menganggap Pulau Tioman kini sudah ditutup seperti pulau di Terengganu namun sebenarnya ia masih dibuka untuk dikunjungi.
Tanggapan atau andaian pulau peranginan di pantai timur ditutup pada hujung tahun itu seperti sudah menjadi kebiasaan biar pun keadaan laut di perairan Rompin dan Mersing, Johor masih lagi stabil.
Turut menerima tempias akibat tanggapan dan andaian itu ialah pengusaha feri yang mencatatkan pengurangan jumlah penumpang serta resort di Pulau Tioman yang masih dibuka tetapi tiada pelanggan.
Pengurus syarikat feri, Nasir Awang, 62, berkata, setakat ini perjalanan feri dari Tanjung Gemok ke Pulau Tioman masih beroperasi dan menjangkakan ia akan kekal hingga 8 Disember depan.
Menurutnya, operasi feri bergantung kepada arahan daripada Jabatan Laut Malaysia yang turut mengambil kira maklumat keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Matereologi.
Beliau berkata, selagi tiada amaran atau larangan dikeluarkan oleh kedua jabatan itu, ferinya akan terus beroperasi namun kekurangan pelancong menyebabkan ia terpaksa dihentikan juga.
"Apabila masuk hujung tahun, pelancong bagaikan sudah diberitahu Pulau Tioman telah ditutup seperti pulau peranginan di Terengganu. Mereka takut boleh pergi tetapi tidak boleh balik sedangkan keadaan tidaklah seperti itu.
"Jadi, pelancong masih boleh ke Pulau Tioman seperti biasa selagi tiada larangan. Sebelum ini waktu begini pelancong boleh ke Pulau Tioman melalui Jeti Mersing tetapi sekarang keadaan kuala di sana ada masa cetek, disebabkan itu kita akan cuba beroperasi hingga 10 Disember depan," katanya kepada Sinar Harian.
Nasir berkata, pelancong perlu mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pelancongan Negeri supaya maklumat yang tepat dapat diberikan mengelak daripada sebarang andaian tidak benar yang mendatangkan kerugian kepada pihak terlibat.