KUANTAN – Panggung wayang lama yang berusia hampir satu abad di tengah pekan Sungai Lembing antara tinggalan yang terus menjadi tatapan kenangan penduduk Sungai Lembing di sini.
Panggung wayang lama yang telah memberi peluang kepada beribu pekerja lombong dan penduduk tempatan menonton filem baharu antarabangsa ini telah melakar sejarahnya tersendiri sekali gus menjadi antara mercu tanda di kawasan tersebut.
Menariknya, panggung wayang yang dibina syarikat British, The Pahang Corporation Limited itu mempunyai masa tayangan secara berperingkat-peringkat.
Sekitar jam 7 malam, panggung wayang tersebut dibuka kepada penonton yang datang daripada luar Sungai Lembing seperti Panching, Sungai Talam (kini dikenali sebagai Indera Mahkota) dan Kuantan manakala bagi penduduk kampung pula waktu tayangan pada jam 9 malam.
Tiket-tiket pula dijual dengan harga berbeza bermula dengan harga 20 sen iaitu di barisan hadapan, diikuti 40 sen dan 55 sen. Hanya bangku kayu panjang serta tikar disediakan untuk mereka duduk menonton.
Manakala tiket barisan belakang yang diletakkan kerusi rotan serta meja kecil dijual dengan harga RM1 dan kebiasaannya dibeli orang Inggeris.
Kebanyakan filem-filem yang sering dimainkan merupakan filem Hong Kong, Britain dan Hollywood, namun ada ketikanya tidak ketinggalan juga beberapa filem Melayu dan Hindustan turut dimainkan.
Satu-satunya pusat hiburan
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, kewujudan panggung wayang lama memberikan impak cukup besar kepada sebahagian penduduk dan pekerja lombong kerana merupakan satu-satunya pusat hiburan di Sungai Lembing suatu masa dahulu.
“Kewujudannya dianggarkan sekitar tahun 1930 dengan pembinaan yang cukup unik. Bangunannya seperti rumah kayu dan beratapkan daun nipah, namun sebelum merdeka panggung wayang ini telah dirobohkan secara berperingkat.
“Selepas perang dunia kedua iaitu sekitar 1958, memandangkan keadaan semasa yang sudah bertambah baik panggung wayang ini telah siap sempurna dan berubah wajah dengan bangunan batu serta beratapkan zink.
“Namun begitu ia kembali rosak dan terbiar sehinggalah sekitar tahun 2004, Jabatan Muzium Malaysia membaik pulih dan menyerahkannya kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi melaksanakan pelbagai program menarik,” katanya.
Tiket berharga 40 sen
Dalam pada itu, seorang bekas pekerja lombong juga merupakan penduduk tempatan, Mohd Sharif Mohamed, 67, berkata, masih segar di ingatannya nostalgia bersama rakan sekerja dan penduduk kampung sewaktu menonton pelbagai filem di panggung wayang lama.
“Walaupun dah lebih 30 tahun panggung wayang lama ini tak berfungsi sebagai panggung wayang yang menghiburkan penduduk Sungai Lembing apabila ditutup bersama lombong bijih timah sekitar 1986, tapi saya tetap rasa gembira kerana ia masih lagi wujud.
“Setiap kali ke sini, saya seakan teringat ketika pergi menonton filem Hong Kong dengan membeli tiket berharga 40 sen dan hanya duduk di bangku kayu saja. Masa tu dah cukup terhibur buat pekerja dan penduduk kampung di sini.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya ke sini kerana masa tu hanya panggung wayang ini jadi hiburan selepas balik melombong. Bukan kita sahaja yang perlukan hiburan, malahan orang Inggeris yang jaga ladang-ladang di Sungai Talam turut sama datang naik traktor atau kenderaan ladang,” katanya.
Jadi aktiviti wajib
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kong Swee Leng, 53, berkata, pergi menonton di panggung wayang lama tersebut dirasakan umpama aktiviti wajib yang perlu dilakukan oleh setiap penduduk Sungai Lembing apabila filem baharu ditayangkan.
“Saya sekeluarga pastinya tak melepaskan peluang sekiranya filem baru ditayangkan terutama dari Hong Kong. Walaupun tiket dirasakan mahal, tapi kami berusaha juga kumpul wang untuk ke sini.
“Perkara paling seronok tentang panggung ini apabila mereka kerap membawakan pelakon Hong Kong atau beberapa orang bintang terkenal untuk sesi bertemu peminat. Ketika ini berpusu-pusu masyarakat tempatan termasuk dari luar Sungai Lembing hadir sama bertemu artis pujaan mereka.
“Keluasan panggung wayang lama ini tidak terlalu besar, namun masih boleh menampung kapasiti penonton yang ramai setiap kali tayangan filem baru masuk Sungai Lembing,” katanya