Sumber : Sinar Harian
BENTONG - Penggunaan air paip berlebihan menerusi sektor pertanian, pelancongan, termasuk kegunaan isi rumah menyebabkan paras Sungai Chemperoh terjejas.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, rata-rata penduduk menyarankan agar tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa dengan kadar segera memandangkan paras air semakin cetek dan lokasinya juga menjadi sungai tanpa sebarang aktiviti riadah.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Janda Baik, Mohamad Arris Abdul Manap berkata, penggunaan yang dipercayai secara berlebihan dan tidak terkawal telah menyebabkan air sungai semakin kering.
Jelasnya, sebelum ini air sungai itu hanya digunakan untuk kegunaan harian tanpa melibatkan penggunaan domestik oleh pihak lain.
“Kami telah buat pemantauan bersama penduduk dan lihat banyak paip baharu bersambungan. Pasti penggunaannya tidak hanya tertumpu kepada urusan isi rumah bahkan sektor pertanian dan pelancongan.
“Sebelum ini, tiada sebarang saluran baharu, namun sejak air sungai kering ianya semakin jelas kelihatan," katanya.
Mohamad Haris memberitahu, terdapat sebahagian penduduk telah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah ini dan memastikan ia mendapat keputusan menang sama menang antara penduduk dan industri terlibat.
Dalam pada itu, Mohamad Arris berkata, penduduk kampung turut bekerjasama dengan pelbagai jabatan berkaitan untuk memantau sebarang aktiviti pembukaan ladang baharu atau kawasan pertanian haram yang boleh menjejaskan kemudahan penduduk.
Seorang penduduk tempatan, Ghafar Osman, 50, berkata, dia bertambah risau dari sehari ke sehari apabila melihat perubahan ketara paras air sungai.
“Sebagai penduduk kampung yang turut sama bertani secara kecil-kecilan memang rasa bimbang kerana sumber air yang kami ada sangat sedikit. Bimbang ia tak mampu menampung keperluan pada masa akan datang.
“Kerana itu saya harap masalah ini akan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kehidupan dan aktiviti kami tidak terjejas,” katanya.