- Butiran
-
Kategori: Berita Terkini
-
Terakhir dikemaskini: Isnin, 05 April 2021 08:51
-
Diterbitkan: Isnin, 05 April 2021 08:51
-
Jumlah paparan: 56

KUANTAN: Kerajaan Pahang mencadangkan agar semua pemain industri pelancongan diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemberian vaksin lebih awal kepada kumpulan itu dilihat dapat membantu memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk.
Menurutnya, langkah itu juga membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pemain-pemain industri termasuk dalam sektor perhotelan dan sebagainya.
"Pemain industri pelancongan merupakan petugas barisan hadapan bagi sektor ini kerana mereka sememangnya berdepan dengan orang ramai setiap masa.
"Misalnya pemandu pelancong dan penyambut tetamu, mereka memang ada 'close contact' dengan pelancong jadi sewajarnya keutamaan diberikan untuk mereka juga dapat menerima suntikan valsin lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program 'This Is Pahang: Business Networking At The Peak di Menara Kuantan 188 di sini, malam Khamis.
Mohd Sharkar berkata, sekiranya sektor itu diberi keutamaan, ia akan memberi kesan positif kepada pasaran pelancongan yang merupakan sektor ketiga tertinggi menyumbang kepada pendapatan negara.
Tambah beliau, bagi hotel dan semua premis pelancongan yang mana semua pekerja mereka sudah menerima vaksin juga sewajarnya dilabel dengan tag khas kerana langkah itu juga dilihat dapat meyakinkan pelancong untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.
Sementara itu katanya, program 'This Is Pahang: Business Networking At The Peak' yang melibatkan kira-kira 100 pemain industri termasuk dari luar Pahang antara usaha bagi merancakkan kembali industri pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, program itu diadakan dengan tujuan mempromosi dan memberi pendedahan mengenai produk pelancongan dan destinasi menarik di negeri ini kepada agensi pelancongan dari luar Pahang.
"Melalui program ini, kita dapat mewujudkan padanan perniagaan antara pemain industri melalui pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan.
"Usaha ini sebagai persiapan kita untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong sekiranya kawalan pergerakan dilonggarkan dan rentas negeri kembali dibenarkan," katanya.
Menurutnya, pemain industri perlu mempunyai persediaan dan sedia untuk kembali beroperasi.
"Mereka tidak boleh mengambil langkah tunggu dan lihat sebaliknya perlu terus bergerak ke hadapan dengan perancangan rapi melalui tawaran pakej-pakej menarik untuk menggalakkan kehadiran pelancong.
"Secara keseluruhannya, pemain industri pelancongan di Pahang ini sudah bersedia terutama dalam kalangan pengusaha hotel, penginapan dan operator pusat pelancongan," katanya.
Beliau berkata, sektor pelancongan di Pahang tetap positif walaupun jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini merundum tahun lalu kesan pandemik Covid-19.
"Tahun lalu kita hanya menerima 7.43 juta pelancong berbanding 13.99 juta pelancong pada tahun sebelumnya.
"Kita jangkakan sektor pelancongan di negeri ini akan kembali rancak sekiranya rentas negeri kembali dibenarkan kerana Pahang yang mempunyai pelbagai produk pelancongan menjadi antara destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/131581/EDISI/Pahang/Vaksin-Covid-19-Pemain-industri-pelancongan-wajar-diberi-keutamaan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
- Butiran
-
Kategori: Berita Terkini
-
Terakhir dikemaskini: Khamis, 18 Mac 2021 08:19
-
Diterbitkan: Khamis, 18 Mac 2021 08:19
-
Jumlah paparan: 94

VIA Ferata adalah satu istilah asing bagi penulis apabila wakil penganjur Recreation Outdoor Hikers (ROH) Kapten (B) Ahmad Azuan Osman memaklumkan aktiviti rekreasi itu dilakukan di Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang pada 25 Mac nanti. Kata Ahmad Azuan, via ferata adalah salah satu disiplin sukan memanjat pada kecerunan bukit hampir 90 darjah permukaannya menggunakan peralatan khas seperti kabel atau jambatan besi.
Bagi pemanjat, mereka akan mengenakan harness, carribiner dan kabel keselamatan bagi membantu meniti dinding sempit di keliling kawasan pendakian gua berkenaan sehingga boleh sampai ke puncak. Menurut Ahmad Azuan, lokasi popular aktiviti via ferata di Malaysia ketika ini ialah Gunung Kinabalu dan 'trip' di Jerantut itu antara 'port' menarik boleh dicuba peminat pendaki ekstrem. "Ekplorasi ROH di Kota Gelanggi kali ini selama dua hari sebenarnya peluang buat mereka menyahut cabaran gayat menerusi via ferata dan juga bagi dua kelompok 'nyctophobia' (fobia gelap) serta clautrophobia (fobia ruang sempit) menghadapi ketakutan mereka.
"Secara peribadi, saya pesara tentera turut menghadapi masalah dua fobia berkenaan dan mencabar diri dengan aktiviti penerokaan gua dikatakan mempunyai trek sempit dan gelap," katanya. Dalam aktiviti ini dua pakar sukan bertali dan memanjat, Muhammad Faizal Abdul Manaf dan Wan Ruhaiza Wan Daud akan bertindak menyelaras bahagian teknikal dan keselamatan. Tambah Ahmad Azuan, aktiviti berkenaan turut menitik berat kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan termasuk Covid-19.
"Ia adalah program kedua selepas setahun terhenti sebarang aktiviti rekreasi dan sebagai penganjur kami mematuhi syarat SOP termasuk kena ambil suhu, imbas kod MySejahtera selain persiapan seperti pensanitasi tangan dan pelitup muka (jika perlu). "Penjarakkan sosial dipraktikkan selain jumlah peserta dihadkan tidak lebih 25 orang berbanding 50 orang," katanya. Sementara itu penyelaras aktiviti meneroka gua, Mohd Zaki Yamani Azman berkata, kawasan ini mempunyai banyak lokasi gua boleh dijelajah. "Di kawasan ini sahaja ada lebih 20 gua dan setiap satunya mempunyai laluan dan trek tersendiri. Bagi program ini, saya rancang tujuh gua dalam kawasan Gua Kota Sanding. "Dari pintu masuk anda akan melalui Gua Tongkat, Gua Kepala Gajah, Gua Potret, Gua Angin, Gua Gajah sebelum berakhir di Gua Gelap. "Paling mencabar rasanya Gua Gelap kerana ada slot yang mana kita akan minta peserta memadam lampu kepala mereka. Di sini, pengalaman ialah mereka akan berada pada kawasan yang langsung tiada cahaya, malah tidak nampak tangan sendiri," katanya. Cabaran lain ialah peserta akan melalui ruang sempit selain menikmati pemandangan sekitar mahupun struktur stalaktik dan stalagmit dalam gua berkenaan. Sumber : Harian Metro