A- A A+
21 Oct, 2020

Facebook twitter You Tube Instagram

Jangan buat pakej sentuh penyu, terumbu karang : 15 Oktober 2020

ROMPIN - Pengusaha produk pelancongan di Pahang khususnya agensi pelancongan diminta tidak mengadakan aktiviti yang boleh menjejaskan hidupan marin seperti pakej menyentuh penyu atau terumbu karang. Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, perbuatan demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 dan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985. Menurutnya, mana-mana orang yang berada di taman laut tidak boleh menangkap ikan, mengambil, mengalih atau memiliki hidupan atau tumbuhan akuatik sama ada hidup atau mati tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.

"Kita menerima aduan bahawa terdapat pengusaha pelancongan mengadakan aktiviti memegang penyu sebagai tarikan pelancong untuk mengambil pakej dengan mereka. Ini perbuatan yang salah. "Akta mengenai penyu ini juga disebut secara jelas di bawah seksyen 27 Akta Perikanan 1985 iaitu tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap atau mengambil penyu. "Mohon ambil maklum dan tidak lagi menyediakan pakej-pakej sedemikian kerana jelas sekali hidupan marin di pulau-pulau yang digazetkan sebagai taman laut ini adalah dilindungi undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat lawatan pulau-pulau perairan Rompin bagi pembangunan produk baharu pelancongan Pahang di Tanjung Gemok di sini hari ini. Ishak berkata, kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 maksimum, jika sabit kesalahan. Sementara itu, Petugas Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Perikanan Pahang, Mohd Anuar Roslan berkata, Malaysia merupakan salah satu daripada 12 negara mega diversiti dunia kerana kaya dengan kepelbagaian biologi.

Menurutnya, selain Pahang empat lagi taman laut di negara ini iaitu di Terengganu, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kedah. "Sembilan pulau di Pahang yang digazetkan sebagai taman laut adalah Pulau Tioman, Pulau Chebeh, Pulau Tulai, Pulau Labas, Pulau Jahat, Pulau Sepoi, Pulau Seri buat, Pulau Sembilang dan Tokong Bahara. "Sembilan pulau ini meliputi keluasan perairan 542.11 kilometer (km) dan pulau Tulai adalah taman laut yang terbesar di Pahang iaitu seluas 401.70km diikuti Pulau Seri Buat seluas 95.65km dan Pulau Tokong Bahara iaitu 44.76km," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105402/EDISI/Pahang/Jangan-buat-pakej-sentuh-penyu-terumbu-karang © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tiga cadangan cuti perkasa pelancongan domestik negara: 09 Oktober 2020

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengemukakan tiga cadangan cuti bagi mengelakkan industri pelancongan lumpuh berikutan dunia ketika ini dilanda pandemik koronovirus (Covid-19). Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, cadangan berkenaan ialah mewujudkan empat giliran waktu kerja, mengubah sistem cuti pada hujung minggu dan waktu cuti sekolah berbeza. Jelas beliau, mengikut cadangan pertama, akan ada empat kumpulan yang bekerja dan dalam satu minggu, satu kumpulan boleh mengambil cuti pada Jumaat jika mereka bercuti Sabtu dan Ahad manakala yang bercuti Jumaat dan Sabtu boleh mengambil cuti pada Ahad.

“Ini boleh dilakukan secara bergilir setiap minggu bagi kumpulan kerja yang berbeza. Melalui cara ini setiap kumpulan kerja dapat bercuti selama tiga hari untuk melancong ke destinasi menarik dalam negara. “Jika setiap minggu ada rakyat yang bercuti, pastinya merancakkan sektor pelancongan domestik, sekali gus membantu pengusaha rumah rehat dan hotel meneruskan perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, bagi cadangan kedua pula, jika dapat dilaksanakan, aktiviti pelancongan domestik tidak hanya tertumpu pada hari minggu sahaja malah hari lain iaitu Isnin hingga Khamis, bagi memberi peluang kepada mereka tidak bekerja boleh bercuti bersama keluarga.

Katanya, negara mempunyai kira-kira 15 juta pekerja dan jika 500,000 orang bercuti setiap hari, ia dapat merancakkan sektor pelancongan domestik sekali gus majukan pelancongan negara secara keseluruhannya. Selain itu, cadangan ketiga pula katanya, musim cuti persekolahan perlu diubah supaya semua sekolah tidak bercuti serentak. “Sebagai contoh, setiap kali musim cuti sekolah hanya tiga atau empat negeri yang bercuti. Ini penting bagi memastikan tidak berlaku limpahan pelancong yang menyebabkan kesesakan kerana bercuti pada masa sama.

“Saya melihat tiga cadangan ini perlu dilaksanakan ketika ini supaya kita merancakkan sektor pelancongan domestik negara,” katanya. Mohd Sharkar bimbang jika aktiviti pelancongan domestik hanya tertumpu pada cuti hujung minggu atau hari tertentu, akan menyebabkan kesesakan melampau sebagaimana berlaku di Cameron Highlands dan Kuala Gandah. Menurut beliau, jika tiada perancangan bersepadu sebagaimana dicadangkan itu, usaha memulihkan ekonomi negeri akan mengambil masa panjang, iaitu antara dua hingga tiga tahun untuk kembali ke tahap normal selepas pandemik Covid-19 berakhir. “Ini mengambil kira keadaan di seluruh dunia yang sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang akan menyaksikan pelancongan antarabangsa tidak dapat beroperasi,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104524/EDISI/Pahang/Tiga-cadangan-cuti-perkasa-pelancongan-domestik-negara© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Taman Negeri Rompin dibuka 1 Oktober depan : 16 September 2020

ROMPIN - Pencinta alam semula jadi dapat menikmati keindahan alam Taman Negeri Rompin di sini, apabila ia akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Oktober depan. Melalui pembukaan semula taman negeri itu akan memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semulajadinya dalam suasana tersendiri dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan lengkap yang disediakan. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjenamaan semula Taman Negeri Rompin yang dahulunya dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin (TNER) dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, 26 Ogos lalu.

Menurutnya, nama Taman Negeri Rompin dipilih atas perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. "Kerajaan negeri sebelum ini bercadang menukar nama Taman Negeri Endau Rompin bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelancong dengan Taman Negara Endau-Rompin, Johor yang diuruskan Perbadanan Taman Negara Johor. "Penjenamaan semula taman negeri ini turut melibatkan penambahbaikkan infrastruktur dan kemudahan dengan peruntukan RM15 juta yang disalur melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Ia termasuk pembinaan kompleks pelawat, pusat penyelidikan menara tinjau, jambatan gantung, dewan serbaguna dan lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengunjung," katanya sempena Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pembukaan Semula Taman Negeri Rompin, di sini semalam. Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri pula melalui Yayasan Pahang memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja naiktaraf jalan masuk ke Taman Negeri Rompin yang akan dilaksanakan segera dalam masa terdekat. Menurutnya, pembukaan semula taman negeri itu akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk kampung sekitar daerah Rompin melalui aktiviti-aktiviti eko-pelancongan yang dijalankan.

Taman Negeri Rompin yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau Rompin ditubuhkan sejak Disember 2000 dengan keluasan 31,797 hektar dan telah ditutup selama tiga tahun bermula Ogos 2016 bagi kerja naiktaraf. Ia dibuka semula (prapembukaan) bermula 15 Ogos lalu hingga 30 September ini. Sementara itu Wan Rosdy berkata, seramai 13.99 juta pelancong datang ke Pahang tahun lalu sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi teratas pelancongan domestik. "Bagaimanapun jumlah kedatangan pelancong menunjukkan ‘trend’ menurun tahun ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia tidak terkecuali negara dan negeri ini.

"Kerajaan negeri tetap optimis, sektor pelancongan akan mulai rancak secara berperingkat. Justeru, penekanan akan diberikan bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk melancong semula ke negeri ini," katanya. Beliau berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga komited untuk mengaktifkan kerjasama dengan negeri-negeri jiran yang bersempadanan seperti Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, serta negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan, bagi memasarkan pakej-pakej menarik intra-negeri," katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/101271/EDISI/Pahang/Taman-Negeri-Rompin-dibuka-1-Oktober-depan © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pantai Batu Hitam dinaik taraf : 27 September 2020

KUANTAN - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk menaik taraf Pantai Batu Hitam di sini bagi memastikan kawasan berkenaan terus berpotensi menarik kedatangan pelancong luar dan dalam negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf medan selera, membina pelantar dan dataran di kawasan terbabit. "Peruntukan sudah diluluskan dan ia dalam proses Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). "Kerja menaik taraf ini dilakukan bagi menarik pelancong luar datang ke negeri ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri program mengacau bubur asyura di Masjid Jamek Beserah hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, beliau akan mengadakan lawatan di satu lagi lokasi pelancongan baharu iaitu Pulau Ular pada minggu hadapan. Menurutnya, lawatan tersebut bagi melihat bentuk kemudahan yang diperlukan di kawasan tersebut sebelum ia dimajukan.

"Kita akan ke sana untuk melihat apakah keperluan kemudahan di kawasan berkenaan, selain pembinaan dua jeti di pulau itu," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/102878/EDISI/Pahang/Pantai-Batu-Hitam-dinaik-taraf © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

TER Mossy Forest berpotensi jadi produk antarabangsa: 14 September 2020

KUANTAN - Kerajaan Pahang bercadang membantu memajukan Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands sebagai satu produk pelancongan bertaraf antarabangsa. Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keunikan TER ialah tumbuhan lumut dan udara segar yang sentiasa menjadi perhatian pelancong. Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan negeri memikirkan bantuan yang diperlukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bagi memajukan pusat pelancongan itu.

"Kita mahu pelancong yang datang ke Cameron Highlands tidak melepaskan peluang berkunjung ke TER Mossy Forest, dan menikmati suasana berada dalam hutan lumut yang begitu menarik dan menakjubkan," katanya dalam satu kenyataan semalam. Beliau berkata, kesungguhan JPNP memajukan TER Mossy Forest harus dipuji terutamna dengan menyediakan kemudahan pelancong termasuk laluan berjalan kaki sepanjang 200 meter, menara dan tempat berehat.

Sementara itu, Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya kini sednag menyediakan pelan menaik taraf beberapa kemudahan di TER Mossy Forest terutama membabitkan kawasan letak kenderaan dan pusat maklumat. Katanya, hampir 100 hingga 150 pelancong mengunjungi TER Mossy Forest setiap hari dan jumlah meningkat hingga dua kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/101098/EDISI/Pahang/TER-Mossy-Forest-berpotensi-jadi-produk-antarabangsa © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf