LIPIS, 22 NOVEMBER 2024 : Pahang melancarkan produk pelancongan baharu berkonsepkan pengangkutan kereta api menerusi Pahang Rail Tourism bagi mempromosikan jajaran pelancongan kereta api di negeri ini kepada para pelancong. Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penawaran pelancongan dengan konsep ini yang julung kali dilancarkan juga merupakan salah satu cara bagi Kerajaan Negeri Pahang menarik kedatangan pelancong ke Pahang. “Ia untuk meningkatkan pelancong datang ke Pahang, itu tujuan kita. Dan kalau kita tidak buat sebegini, negeri lain akan buat bagi mempromosikan kehadiran pelancong kerana kita tahu pelancong ni dia ada pilihan. “Di Malaysia ada banyak tempat menarik, jadi kalau kita kurang promote atau kita kurang menyediakan kemudahan untuk mereka, mereka akan beralih ke tempat lain.
“Kalau nak kata kereta api ni perkara baru di Pahang, tidak, cuma kita naiktaraf untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Pahang Rail Tourism 2024 di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lipis. Turut hadir, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Ahli Parlimen Lipis yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad; dan ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long. Menurut beliau, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus membangunkan laluan keretapi melalui zon pelancongan semulajadi.
“Laluan kereta api di Negeri Pahang terletak di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus melalui zon pelancongan semula jadi. Tarikan utama laluan ini ialah melalui jajaran hutan yang panjang dan mendapat jolokan sebagai Old Jungle Rail. “Produk pelancongan sedia ada dan baharu berhampiran stesen KTM boleh dibangunkan kerana memberi pulangan kepada penduduk setempat. Keunikan produk pelancongan ini perlu diketengahkan untuk meningkatkan visibility produk pelancongan serta memperkasa fungsi laluan keretapi,” katanya.
Tambah beliau, Pahang Rail Tourism merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan produk pelancongan di Pahang. “Diharap para pelancong akan lebih memahami sejarah dan warisan negeri ini selain menikmati keindahan alam semula jadi yang menjadi kebanggaan kita. “Program ini juga bukan sekadar untuk menarik pelancong luar, malah memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peningkatan ekonomi kawasan-kawasan yang terlibat. Secara tidak langsung, dapat mempromosikan industri pelancongan keretapi yang lebih mampan dan mesra alam. “Kerajaan Negeri amat komited dalam memastikan sektor pelancongan negeri ini terus berkembang dan berdaya saing di peringkat nasional mahu pun global,” katanya. -PAHANGMEDIA